Pages

Sunday, 15 January 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 1

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Sunday, January 15, 2012
BAB 1

Pagi Isnin.

Killa bangun lebih awal pagi itu. Dia melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam dapur kecil berlantaikan separuh buluh dan separuh papan di dalam rumah tersebut, cukup berhati-hati bimbang kalau-kalau bunyi keriut buluh yang terhasil daripada langkah tapak kakinya mengejutkan lena penghuni lain di dalam rumah. Sejurus tiba, Killa segera mencapai cerek air yang kosong di atas para-para untuk menjerang air. Masih ditemani dengan kesunyian pagi, gadis berusia 18 tahun itu tekun dengan tugasnya menyediakan sarapan. Dia harus menyiapkan kesemuanya sebelum jam menunjukkan tepat pukul 6 pagi.


Pagi itu, dia sudah merancang untuk menggoreng kuih pisang. Buah pisang yang dihiris nipis dan panjang telah pun disediakan sejak semalam. Killa berasa senang kerana dia dapat merasakan kerjanya akan menjadi  lebih mudah dan cepat. Mujurlah Nalin, adik lelakinya yang sekaligus merangkap status anak bongsu dalam keluarga membantunya menyediakan hirisan-hirisan panjang buah pisang itu semalam. Killa tersenyum sendiri.

Killa mengenangkan kehidupannya yang telah berlalu selama 18 tahun. Masih sangat muda, Killa sedar masih banyak hal dan perkara yang perlu dipelajarinya. Beberapa minggu yang lalu, dia baru sahaja selesai menempuh salah satu peperiksaan terpenting dalam hidupnya sebagai seorang pelajar. Killa amat bersyukur kerana dapat menjawab kesemua kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tersebut dengan baik dan lancar. Saat menunggu keputusan inilah, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung kelahirannya itu yang terletak agak kepinggiran dari kesibukan kota namun masih mampu dibekalkan dengan tenaga elektrik dan kemudahan jalan raya separuh bertar dan separuh berkerikil. Agak menyedihkan untuk berpisah dengan teman-teman seperjuangan di sekolah menengah berasrama penuh tempatnya menimba ilmu selama hampir dua tahun, apatah lagi mereka pernah merancang untuk menimba pengalaman bekerja selepas tamat menduduki peperiksaan.

“Minta maaf kawan-kawan, Killa tak dapat sertai kamu semua. Killa rasa, Killa hendak balik ke kampung dan menunggu result keluar di sana.”.

Masih Killa ingat dengan jelas perbualannya bersama dengan tiga rakan sebiliknya, sekaligus merupakan teman terbaiknya di sekolah itu, dua hari selepas selesai kertas soalan peperiksaan terakhir, Kimia diduduki.

“Jangan risau lah Killa. Kami tak kecil hati. Tapi... dengan bekerja, kita boleh mendapat pendedahan awal mengenai dunia pekerjaan”, Eyza perlahan bersuara seraya menepuk bahu Killa dengan lembut.

“Ha’ah lah Killa. Selain itu, kita boleh belajar mengumpulkan wang saku sendiri untuk keperluan kita nanti. Mana tahu, ada rezeki kita menyambung pengajian ke universiti”, Betsy menambah, jelas menunjukkan persetujuannya terhadap kata-kata Eyza tadi.

Killa terdiam seketika. Fikirannya ligat mencari kata yang paling sesuai. Dia bukan tidak setuju, dia tahu kebenarannya kata-kata Betsy dan Eyza. Dia juga bukannya tidak mahu, namun mengenang tempoh masa dua tahun hidup berjauhan dari keluarga tercinta selama ini, membuat Killa tidak sanggup lagi menambah ralat kerinduan, tiba masa dia kembali untuk membantu keluarga walaupun seketika kemudian, dia mungkin harus berjauhan lagi dari keluarganya itu. Sepi menguasai ruang bilik Athena 56.

“Killa tahu, Killa pun mahu juga menimba pengalaman seperti itu. Tapi keluarga Killa sudah lama tidak bertemu dengan Killa, sering bertanyakan bila Killa akan kembali ke kampung. Sudah setahun lebih Killa tidak ketemu mereka, rawan hati Killa ini pun rasanya sudah tidak tertanggung. Killa ingin juga sertai kawan-kawan semua tapi naluri Killa lebih mendesak, meminta Killa pulang...” Lembut, perlahan dan panjang lebar kata-kata yang dituturkan oleh Killa, berharap keadaannya difahami oleh rakan-rakan baiknya itu.

Betsy, Lyn dan Eyza diam merenung sebentuk wajah jernih milik Killa, gadis manis kelahiran Kadazandusun dari Ranau itu, gadis ceria yang menambah keindahan persahabatan mereka selama dua tahun perkenalan mereka.

It’s okay, Killa. Yang penting, lepas ni, kita masih berhubung antara satu sama lain ya...”, Lyn, tersenyum kecil, seraya mempamerkan kemolekan dua lesung pipitnya yang terletak elok di kedua-dua belah pipi.

Lyn yang merupakan gadis kacukan Cina dan Dusun (Sino) itulah sahabat pertama yang dikenalinya pada hari pertama dia mendaftar diri di Sekolah Menengah Berasrama Penuh itu. Masih jelas dalam ingatannya akan insiden tertukar kunci ketika itu. Wajah kelat Lyn yang memprotes kecuaian Fasilitator Pelajar Baru, Alex Chong masih terbayang dalam ingatan. Tidak disangka, kini setelah dua tahun berlalu, Lyn dan Alex adalah sepasang kekasih yang setia bersama malah kekal bertahan walaupun selepas Alex melanjutkan pelajarannya dalam peringkat diploma ke Universiti Teknologi Mara setahun yang lalu.

Eyza dan Betsy mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju. Killa tersenyum lebar, hembusan nafas kelegaan yang halus dilepaskannya, bersyukur atas kesediaan rakan-rakannya untuk memahami situasinya.

Mengenangkan saat-saat di sekolah, Killa menjadi amat rindu kepada dunia itu. Baginya, menjadi seorang pelajar amat menyeronokkan walaupun bukan sedikit cabaran yang terpaksa dihadapi. Killa mengakui, dia bukan jenis communicative person yang mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Dalam keseronokan berkenalan dengan ramai pelajar lain, Killa meletakkan keseronokannya dengan menghabiskan kebanyakan masanya di dalam perpustakaan, sehinggakan pengawas di dalam perpustakaan tidak ada seorang pun yang tidak mengenali dirinya. Killa sememangnya tidak pernah puas menimba ilmu pengetahuan, apatah lagi  dia bercita-cita untuk menjadi seorang ahli pengkaji sejarah yang berjaya suatu hari nanti. Bertimbun himpunan keratan-keratan, nota-nota dan catatan berkaitan pengkajian sejarah di dalam almari dan rak bukunya. Itulah dunianya dan dia tidak pernah bosan dengan dunia itu.

Dari segi paras rupa, Killa cukup bertuah kerana dianugerahkan dengan serba-serbi kecantikan yang kelihatan sempurna selayaknya sebagai manusia dan juga seorang wanita. Seraut wajah yang manis dan menawan, dihiasi dengan sepasang mata bundar dan bibir yang mudah tersenyum sudah cukup membuat Killa boleh dikategorikan sebagai gadis yang sememangnya  mudah mencuri perhatian dan lirikan seorang insan yang bergelar lelaki. Ketinggian 165 cm yang dimilikinya membuatkan Killa sering tampil menonjol dan menjadi siulan pelajar lelaki yang mengenalinya. Namun, oleh kerana sikapnya yang lebih suka bersendirian dan menghabiskan masa di perpustakaan, membuatkan dirinya tidak begitu dikenali dan sukar didekati. Tapi itu tidak pula menjadikannya sebagai NERD. Dia masih boleh bergaul dengan orang lain mengikut keadaan namun kadangkala sikap gila-gilanya muncul, terutamanya apabila menghabiskan masa dengan tiga orang sahabat baiknya itu.

Killa tersentak seketika apabila mendengar suara nyaring ayam berkokok dari bawah rumah. Serentak itu, terdengar bunyi pintu berkeriut dari arah ruang tamu rumah. Killa tahu, adik-adiknya yang seramai tiga orang iaitu Aaron yang merupakan anak kedua, Lala dan seterusnya Nalin, baru sahaja bangun dari tidur ketika itu. Aaron masih belajar dalam Tingkatan Empat, Lala baru sahaja menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah dalam Tingkatan Satu, manakala Nalin masih belajar dalam Tahun  Lima.

Killa bangga dengan adik-adiknya. Kesemuanya menunjukkan minat dan keinginan untuk menimba ilmu sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Sedar akan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam keluarga dan contoh teladan kepada adik-adik, Killa berusaha untuk selalu melakukan dan menunjukkan yang terbaik untuk adik-adiknya. Dorongan dan galakan berterusan dari ibu bapa tercinta, Encik Ranis dan Puan Martha sehingga ke saat ini rasanya sudah tidak terbalas oleh Killa.

“Killa dah siapkah goreng kuih tu? Nak ibu tolong?” Suara lembut Puan Martha meleraikan ikatan lamunannya tadi. Pantas dia menoleh ke belakang dan menghadiahkan sebaris senyuman manis kepada ibunya yang kelihatan baru sahaja selesai mandi pagi. Kesejukan pagi di kampung itu boleh saja membuat seseorang terloncat tatkala menyiram air ke badan.

“Dah siap ibu... Ni Killa tinggal nak sediakan minuman lagi ni” Killa menjawab. Tanpa diminta, tangan ibunya sudah mencapai sebuah jag dan sebentar kemudian tangannya lincah membancuh minuman Nescafe panas ke dalam jag. Killa meletakkan kepingan kuih pisang terakhir ke dalam piring dan turut serta membantu ibunya menyediakan hidangan sarapan pagi di atas meja yang terletak di dalam ruang makan berdekatan dengan ruang tamu.

Beberapa minit berlalu, kesemua ahli  keluarganya telah pun berkumpul di ruang makan. Aaron, Lala dan Nalin begitu kemas terlihat dengan pakaian seragam sekolah masing-masing, apatah lagi Aaron, tali leher merah tua menandakan jawatan pengawas sekolah terlilit kemas di lehernya. Killa mengenangkan betapa  bertuahnya kawasan kampung kediamannya itu mampu mendapatkan kemudahan sekolah menengah dan juga sekolah rendah yang berdekatan. Meskipun berjarak sekitar 15 KM dari kampung, namun mujurlah Encik Ranis yang merupakan seorang guru sekolah rendah membawa kenderaan untuk memudahkan pergerakan mereka anak-beranak.

“Killa ada nak buat apa-apa ke time tunggu result keluar ni? Takut pula papa kalau Killa bosan duduk dalam rumah seharian suntuk. Bantu ibu dengan jualan hasil kebun tu taklah banyak sangat kerjanya” papanya, Encik Ranis menambah Nescafe ke dalam cawan minumannya seraya memandang tepat ke arahnya. Killa terdiam sejenak, cuba berfikir akan tujuan persoalan yang dikemukakan oleh Encik Ranis.

“Hmm... Setakatni tak ada lah pula papa. Papa nak bantuan Killa kat sekolah ke? Killa boleh je” walau dengan kerutan di dahi, Killa masih sempat bergurau dan melepaskan tawa kecil. Encik Ranis dan Puan Martha berpandangan seraya turut tersenyum.

“Pandai teka, ni mesti sebab kebosanan sangat lah tu” Puan Martha kembali mengusik. Walaupun Killa tidak pernah mengeluh dan merungut mengenai kebosanan, namun dia juga ingin melihat anak gadisnya itu melakukan sesuatu yang boleh mengisi kelapangan masanya, sesuatu yang bermakna buat Killa.

“Ha’ah, lebih kurang begitulah, Killa. Sekolah tempat papa mengajar tu sekarang memerlukan khidmat guru tuisyen sementara untuk memberi kelas tambahan kepada pelajar Tahun Lima dan Enam, selama tiga bulan sebelum kedatangan guru tambahan hujung bulan April nanti. Killa berminat tak?” Encik Ranis memberi penerangan. Besar juga niat di hatinya kalau-kalau Killa berminat. Itu satu pengalaman yang baik untuk Killa.

“Subjek apa papa? Killa macam tak confident aje, yalah, sebab Killa ni pun dikira masih pelajar juga...” Killa meluahkan kerisauan dalam hatinya. Bukan mahu menolak tapi dia tidak ingin mencemar profesion perguruan; dia tahu bukan mudah untuk mengongsikan ilmu yang ada tanpa adanya perancangan dan kemahiran yang bersesuaian.

“Tak silap papa, subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Papa tahu Killa boleh. Killa tak wajib buat semua sebab nanti ada beberapa orang lagi akan bertugas bersama dengan Killa. Come on, papa yakin dengan anak papa” Encik Ranis tersenyum lebar.

Killa tidak dapat menahan diri daripada turut tersenyum. Gelagat papanya yang sentiasa optimis dan menghibur tidak pernah gagal untuk mencetus sumber semangat dalam dirinya. Dia membesar dengan didikan mereka, dia sudah terbiasa dengan sikap papa yang aktif tetapi tegas pada masa yang sama.

“Okey, Killa sahut cabaran ni. Percaya dengan anak papa kan?” Killa berseloroh, saja mahu melihat reaksi papanya. Puan Martha tertawa bila melihat Encik Ranis menghentikan kunyahan kuih pisang di mulutnya.

“Mestilah, always!” serentak terdengar riuh tawa anak-beranak tersebut di ruang makan. Killa berasakan kalau pagi itu terasa lebih indah daripada pagi hari-hari sebelumnya...




This is The Part 1 of My Story Writing on 'Strange Romance'.
Hope You Enjoy Reading It! Peace.. ^_^


0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting