Pages

Monday, 12 March 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 5

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Monday, March 12, 2012
BAB 5

Hari demi hari yang berlalu, hubungan yang lebih baik terjalin di antara Killa dan Raen Jay Xiao. Tetapi, hubungan baik yang terjalin itu tidaklah terlalu mencetuskan sesuatu yang istimewa bagi Killa. Dia sudah berasa cukup senang dan gembira kerana dapat mengenali guru sebaik Raen Jay Xiao. Dia selesa berkawan dengan lelaki itu. Bagaimanapun, Killa tetap berusaha membataskan perbualan mereka apabila berada di dalam kawasan sekolah bagi mengelakkan sebarang prasangka yang tidak diingini timbul dari guru-guru mahupun pelajar.

Tetapi, Aaron pula yang pandai-pandai mengocak suasana. Apabila sahaja Raen Jay Xiao menghampiri Killa atau berjalan beriiringan dengan kakaknya itu, dia akan cepat-cepat menjarakkan diri dan meninggalkan Killa. Tidak terkira rasa geram yang timbul dalam hati Killa melihat kerenah Aaron namun mana mungkin ditunjukkannya semasa berada di sekolah. Sudahnya, di rumahlah menjadi tempatnya ‘membalas dendam’ kepada Aaron. Tetapi, Aaron tidak pernah pula serik. Dengan wajah selamba dan sengihan lebar dia akan membalas omelan Killa.

“Alar, kakak tak payahlah nak marah-marah pula. Orang kata, marah tandanya betul tau. Hehehe...” Tak makan saman betul budak ni... Killa merungut dalam hati.

“Tak ada faedahnya... Nanti ada cerita tak diingini timbul, Aaron boleh tolong jawabkan untuk kakak ke?” Killa mengecilkan mata, menjeling ke arah Aaron yang tersengih-sengih beruk memandang ke arahnya.

“Boleh aje... Bukannya susah pun. Orang tanya, nanti Aaron jawab lah, dah itu takdir-Nya” Aaron beraksi memandang ke atas, bak seorang penyajak sedang membacakan puisi.

“Banyak senang... Aaron bukan kat tempat kakak, tahu?” Killa menjegilkan mata. Aaron malah ketawa terbahak-bahak melihat reaksi Killa.

“Huish, garangnya kakak... Hilang kejelitaan tau! Jatuh poin nanti...”

“Tak kisah pun!” Killa mencebik. Tidak mahu mengalah. Dia benar-benar geram. Kalau Encik Ranis atau ibunya tahu mengenai hal ini, mana mahu disorokkan wajahnya.

“Aik, ye ke kakak tak kisah ni? Alar kak, you have to say thanks for what I’ve done. I’m just giving you a chance!” Aaron terkekeh-kekeh ketawa. Dah macam bertekak dengan kera hantu saja rasanya. Sudahnya, Killa hanya mampu menahan wajah kelat.

Killa kebanyakan masa akan bersabar dengan kerenah adik-adiknya. Dia tahu, usikan Aaron itu tidak akan ke mana. Dia pecayakan mereka dengan sepenuh hatinya. Sekuat-kuat Aaron menyakat, dia tidak pernah melampaui batas yang boleh mengeruhkan hubungan mereka.

Jam 10 tepat. Kelas tuisyen Sejarah bagi Tingkatan 3 Laksamana baru sahaja tamat. Killa segera mengemaskan kertas-kertas kerja yang baru dihantar oleh pelajar kelas itu yang seramai 32 orang ke dalam fail khas. Ada 10 minit lagi, loceng menandakan waktu rehat akan dibunyikan untuk pelajar sidang pagi. Killa ingin segera keluar dari kawasan sekolah sebelum waktu itu tiba kerana dia sememangnya tidak gemar berjalan di dalam keadaan sesak.

Selesai mengemas, Killa memerhatikan seketika jadual markah latihan pelajar yang baru disalinnya tadi pagi. Dia tersenyum gembira, usahanya bagai mula menampakkan sedikit sebanyak hasil yang diharapkan. Markah pelajar Tingkatan 3 yang diberikan tuisyen itu menunjukkan sedikit peningkatan. Killa berasakan kehadirannya diterima dengan baik oleh pelajar apabila melihat pencapaian mereka, tidak banyak namun sudah cukup memberi sedikit kelegaan dalam hatinya. Dia berazam untuk berusaha lebih keras membantu para pelajarnya itu.

“Hai, awak sibuk lagi ke?” satu suara kedengaran menegurnya dari arah pintu. Killa pantas menoleh. Raen Jay Xiao tercegat memerhati dengan senyuman ramah terukir di wajah. Killa turut tersenyum. Sekurang-kurang dia berasa lega apabila suara yang menegurnya tadi adalah suara orang yang dikenalinya.

“Dah hampir habis. Ada apa hal cikgu bertandang ke sini hari ini?” Killa agak kehairanan.

Pada masa sama, dia cuba berbasa-basi, risau jika Raen Jay mengesan rasa kurang selesa yang terbit dalam hatinya kerana mereka hanya berdua-duaan dalam kelas yang kini kosong itu. Namun kemunculan Raen Jay Xiao itu sedikit sebanyak mengundang persoalan dalam benaknya juga.

“Saya dapat tahu dulu awak aktif mengetuai kelas dalam berbagai-bagai pertandingan masa masih belajar kat sekolah ini. Awak juga pernah mengetuai pasukan koir sekolah ke peringkat negeri, betul kan?” Raen Jay Xiao tersenyum.

Killa mengerut dahi, dari mana Raen Jay tahu semua itu. Takkanlah Puan Winnie yang merupakan Pengerusi Kokurikulum sekolah yang memberitahu semua maklumat itu kepada Raen Jay? Dia memang rapat dengan guru wanita berketurunan Dusun Rungus itu semenjak Tingkatan 1.

“Puan Winnie bagitahu cikgu ke?” Killa benar-benar kehairanan. Raen Jay Xiao tertawa kecil.

“Tak kisah lah dari siapa saya tahu. Tak payah tanya pun, maklumat macam ni tak susah nak dapatkan. Saya boleh akses fail maklumat pelajar, termasuk bekas pelajar macam awak” Raen Jay Xiao sengaja memancing reaksi gadis itu. Marah kah Killa jika dia benar-benar melakukan tindakan itu? Benaknya meneka-neka.

“Owh...” Killa mengangguk-angguk perlahan. Dia lupa, sebagai guru rasmi di sekolah itu, Raen Jay Xiao pastilah tidak sukar untuk mendapatkan maklumat sedemikian. Terasa kecil dirinya ketika itu.

“Taklah... Killa, awak tak payah risau lah. Saya gurau aje. Ada bekas guru awak yang syorkan saya untuk minta bantuan awak, sebab tu saya tahu semua maklumat tadi” Raen Jay Xiao cepat saja mengesan perubahan wajah Killa. Dia yakin, kalau dia berada di tempat gadis itu, dia juga akan berasa kurang senang.

Killa pantas mengangkat wajah. Sebentar tadi, rasanya dia baru mendengar Raen Jay Xiao memanggil namanya, Killa. Tidak mungkin dia tersalah dengar apabila Raen Jay Xiao memang berada di hadapannya ketika itu. Keduanya berpandangan seketika. Killa berasakan lidahnya kelu, tidak tahu mahu berkata apa. Dia benar-benar segan. Raen Jay Xiao pula tanpa sedar mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah Killa dengan lebih jelas. Seraut wajah itu kelihatan benar-benar manis di matanya saat itu. Dia hanya tersedar apabila Killa menundukkan wajah semula.

“Err... Bantuan apa yang cikgu maksudkan?” Killa berusaha untuk melindungi kekalutannya akibat ‘awkward moment’ yang tidak diduganya akan berlaku tadi. Bahang panas bagaimanapun masih terasa jelas di wajahnya. Mujur saja kulit wajahnya tidak mudah memerah seperti Lyn. Kalau tidak, pasti Raen Jay akan dapat mengesan sesuatu dan seterusnya membuat bermacam-macam tafsiran. Dan Killa tidak mahu tafsiran itu akhir-akhirnya menjadi ‘tafsiran’ yang sering digambarkan dalam filem dan drama. Arghh... Sungguh dia tidak rela!

“Oh ya! bantuan... Sekejap saya cuba ingat ye” Raen Jay Xiao tersengih, sebentar kemudian dia kelihatan berusaha mengingat sesuatu. Terangkat kening Killa seketika memerhatikan sikap Raen Jay, kenapa pula dia boleh tiba-tiba terlupa ni? Killa sendiri kebingungan.

“Oh ya, begini... Sebenarnya saya nak bantuan awak untuk guide pasukan koir sekolah tahun ini. Bulan depan mereka akan bertanding di peringkat bahagian. Saya ingat nak jemput awak datang sekali masa saya buat latihan untuk pasukan ini hari Sabtu nanti. Boleh awak pertimbangkan permohonan saya?” Raen Jay menarik nafas, seolah-olah lega apabila maksud kedatangannya sudah disampaikan dengan jayanya. Killa tercengang.

“Cikgu betul nak bantuan saya ke? Saya dah lama tak join aktiviti-aktiviti sebegini” Killa berasa serba salah pula. Bukan dia tidak sudi, tapi dia memang sudah lama tidak menyertai aktiviti-aktiviti nyanyian. Entahkan dia masih mampu, entahkan tidak.

“Tak apa, awak boleh fikir-fikirkan dahulu... Tak perlu bagi jawapan hari ini” Raen Jay Xiao tertawa kecil, memahami reaksi gadis itu. Dia tidak pernah berniat untuk memaksa Killa, namun besar juga hasrat di hatinya kalau-kalau Killa setuju untuk membantunya.

“Okay, thanks cikgu...” Killa akhirnya tersenyum.

Tiba-tiba kedengaran ketukan di balik pintu. Serentak itu juga, wajah seorang pelajar lelaki terjengul di muka pintu bersama dengan sengihan lebar, membuatkan hati Killa tercuit. Pelajar itu mungkin merupakan pelajar Tingkatan 1 memandangkan warna name-tag yang dipakainya adalah warna yang mewakili para pelajar Tingkatan 1. Pelajar itu berdiri tercegat, kelihatan teragak-agak untuk melangkah masuk.

“Hello... Tak apa. Masuk lah...” Killa mempersilakan. Segera pelajar lelaki yang bertubuh agak kecil itu melangkah masuk.

“Selamat pagi cikgu. Saya datang untuk sampaikan pesanan. Tuan Pengetua pesan dia nak jumpa dengan cikgu sekarang” Pelajar itu bersuara perlahan, sesekali memandang ke arah Raen Jay Xiao yang sekadar diam memerhati. Mungkin dia jarang melihat guru sidang pagi, dan wajah Raen Jay mungkin agak asing baginya. Killa tergamam sejenak. Tuan Pengetua? Tidak semena-mena hatinya mula berdebar kencang. Melihatkan pelajar itu mula berpaling untuk melangkah keluar, Killa pantas menahannya.

“Terima kasih maklumkan cikgu...” Killa berusaha tersenyum. Pelajar itu kembali tersenyum lebar dan pantas menghilangkan dirinya di balik pintu.

“Tak payah takut dan gelabah. Rasanya bukan berita buruk...” Raen Jay Xiao menghadiahkan senyuman semangat kepada Killa. Sebagai seorang guru, dia faham perasaan yang dialami oleh Killa, apatah lagi apabila Tuan Pengetua sendiri yang mahu menemuinya. Killa hanya mampu mengangguk.

Thanks cikgu. Kalau begitu, saya pergi dulu?” Killa meminta diri. Raen Jay Xiao lantas mengangguk. Killa segera melangkah keluar, dan mengatur langkahnya menuju ke arah bilik pengetua yang terletak selang tiga blok daripada bangunan kelas tusiyen.

Hatinya berdegup kencang. Sudah tiga minggu dia berada di sekolah itu, inilah kali kedua dia akan bertemu lagi dengan pengetua sekolah. Kali pertama dia ditemani oleh Puan Elizabeth yang menghubunginya, dan kali ini dia berseorangan. Fikirannya ligat meneka tujuan pengetua mahu bertemu dengannya kali ini. Jangan-jangan, aku ada buat kesalahan ke? Killa benar-benar sangsi.

Meski dengan debar yang terasa semakin melemahkan sendi-sendi ototnya saat itu, Killa berusaha juga melangkah dengan tenang melewati blok bangunan kelas Tingkatan 5, menaiki tangga berbukit yang dikelilingi taman botanikal sekolah itu dan kemudian melewati pula bangunan kelas Tingkatan 6 Atas. Kawasan bangunan Tingkatan 6 memang istimewa jika dibandingkan dengan bangunan lain, dan paling pentingnya bahagian pentadbiran sekolah termasuk pejabat Tuan Pengetua, semuanya terletak dalam blok bangunan tersebut.

“Killa tenang... Tenang... “ Killa berbisik perlahan dengan setiap langkah yang diaturnya. Dia tidak lagi terdetik untuk memandang ke kiri atau ke kanan, apatah lagi untuk melihat suasana pelajar dalam kelas Tingkatan 6. Destinasinya hanya satu – Bilik Pejabat Tuan Pengetua! Dan saat itu dia tidak sedar ada beberapa pasang mata yang tajam memandang dan mengiring langkahnya.

To be continued....


0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting