Pages

Wednesday, 14 March 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 6

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Wednesday, March 14, 2012
BAB 6

“Masuk!” Satu suara menyahut dari dalam apabila Killa mengetuk pintu bilik pejabat Tuan Pengetua, Encik Hardizul Ghani sejurus dia tiba di hadapan pejabat itu. Killa membuka pintu perlahan dan melangkah masuk.

“Ah, here you are! Hello, selamat pagi, Deanna Akylla!” Cepat sahaja Tuan Pengetua itu menyapa sebaik sahaja melihat Killa sudah berada di hadapannya. Killa tertegun sejenak. Seharusnya dia yang menyapa lebih dahulu. Gulp! Tuan Pengetua tersenyum memerhatinya, seolah-olah memahami rasa cemas yang menghurung Killa ketika itu.


“Selamat pagi juga Tuan Pengetua. Saya harap saya tak terlalu lambat sampai ke sini” Killa membalas sapaan Encik Hardizul seraya memohon maaf. Dia tidak pula mengira berapa minit masa yang diambilnya untuk sampai ke pejabat Tuan Pengetua tadi, tapi hanya itu ‘elemen formaliti’ yang mampu diucapkannya saat itu.

“Oh! Tak apa, tak apa.. This is lot faster than I’ve expected after I asked Hariff to inform you about this meeting” Encik Hardizul menggeleng-gelengkan kepala. Senyuman masih lagi terukir di wajahnya.

Oh, pelajar itu bernama Hariff rupanya, Killa mengingatkan wajah pelajar Tingkatan 1 yang meyampaikan pesanan Tuan Pengetua tadi. Sedikit sebanyak senyuman yang terpamer pada wajah Encik Hardizul memberinya sedikit ketenangan. Namun, dia masih tidak dapat bertenang sepenuhnya selagi belum mengetahui maksud Tuan Pengetua memanggilnya hari ini.

“Jangan takut. Saya memanggil awak bukan kerana awak ada melakukan kesalahan” Encik Hardizul dapat membaca juga keresahan yang dialami oleh gadis itu.

Pengalamannya selama lapan tahun bertugas sebagai Pengetua di sekolah itu sudah cukup untuk dia memahami reaksi kakitangan sekolah di bawah seliaannya, apatah lagi Deanna Akylla. Bukannya baru kali  ini dia mengenali gadis itu. Dia sudah kenal akan pelajar itu semenjak Killa masih berada dalam Tingkatan 1. Cuma pada ketika itu, Deanna Akylla tidak pernah bersemuka secara langsung dengannya. Mungkin kerana itu dia agak cemas apabila berhadapan dengan bekas pengetuanya sendiri.

Killa terdiam sejenak. Kata-kata Encik Hardizul tadi benar-benar memberinya kelegaan. Debaran yang menguasai hatinya terasa beransur lenyap.

“Saya bangga dengan prestasi yang awak tunjukkan. Prestasi pencapaian markah Subjek Sejarah yang dilibatkan dalam kelas tuisyen awak itu menunjukkan peningkatan. Ujian baru-baru ini, seramai 62 orang pelajar berjaya mendapatkan gred A, 35 orang daripadanya merupakan pelajar tuisyen awak. Itu sungguh baik kerana sebelum ini, kelas-kelas seperti Tingkatan 3 Laksamana, Parameswara dan Tun Perpatih jarang menunjukkan pencapaian yang menggalakkan dalam subjek ini. Saya rasa, awak sememangnya berbakat dalam hal mendidik ini” Encik Hardizul tersenyum lebar setelah menghabiskan kata-katanya. Killa terkedu seketika. Adakah Encik Hardizul baru sahaja meberikannya sebuah pujian?

“Itu juga adalah kerana usaha para pelajar sendiri cikgu. Saya hanya berusaha sebaiknya dan setakat yang saya mampu untuk membantu mereka lebih memahami subjek itu” Killa membalas perlahan. Dia tidak mahu terlalu mudah hanyut dengan pujian. Apalah sangat pengalaman yang dimilikinya, Killa berasa segan.

“Tak perlu segan, Deanna Akylla. Pelajar awak sendiri yang mengatakan bahawa mereka sangat suka dengan cara pengajaran awak yang menggunakan pelbagai bahan interaktif seperti video dan kreatif pula dalam menyampaikan isi pengajaran. Mereka katakan, apabila saja awak memberikan penerangan mengenai sesuatu topik atau peristiwa penting, mereka seperti mendengar sebuah cerita yang sangat menarik. Oleh itu, pembelajaran menjadi lebih mudah dan tidak membosankan mereka. Hal ini juga telah membolehkan mereka lebih mudah mengingati fakta-fakta penting semasa menjawab soalan” Panjang dan lebar penjelasan seterusnya dari Encik Hardizul. Dia terhenti sejenak seraya menghembuskan nafas perlahan.

“Rasa sayang pula melepaskan khidmat awak selepas ini. Para pendidik muda negara seharusnya mempunyai ikhtiar dan komitmen seperti yang awak tunjukkan ini” Ada sedikit nada keluhan pada kata-kata Tuan Pengetua. Killa tersenyum kecil. Tatkala itu, Seraut wajah papanya, Encik Ranis yang juga merupakan seorang guru muncul dalam fikiran.

“Jangan kata begitu Tuan Pengetua. Nanti saya bertambah segan pula. Saya hanya berusaha melakukan dan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan. Terima kasih, kata-kata Tuan Pengetua ini akan jadi pendorong kepada saya untuk melakukan dengan lebih baik pada masa depan” Killa berusaha untuk menanggapi jua pujian yang diberikan oleh Encik Hardizul. Terasa penghargaan yang begitu besar diterimanya, walaupun dirinya hanya terasa kecil dalam kelompok itu.

Good. Oh ya, awak janganlah menganggap diri sebagai tenaga pengajar tambahan semata-mata sahaja. Kalau boleh, awak libatkan diri juga dalam aktiviti-aktiviti lain sekolah. Jangan lupa, awak juga sebahagian daripada sekolah ini sekarang. Dahulu, sekarang dan selamanya... okey!” Encik Hardizul bersuara tegas, namun dengan raut wajah yang melucukan. Killa tergelak kecil.

“Okey, saya faham. Saya akan cuba” Killa mengangguk senang.

Impressive. Keep it up. Okey, awak boleh keluar sekarang. All the best!” Encik Hardizul menghulurkan tangan untuk bersalaman. Killa pantas menyambut huluran salam itu, menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat lalu melangkah ke arah pintu.

Sebaik sahaja dia berada di luar, Killa meraup wajah perlahan. Sambil melangkah, kedua-dua belah pipinya yang terasa membahang ditepuk-tepuk beberapa kali. Dia benar-benar lega dan gembira. Killa tidak dapat menahan diri dari tersenyum simpul mengingatkan kata-kata Tuan Pengetua tadi. Hari ini sungguh hari yang baik buatnya, Killa mengira-ngira dalam hati.

Killa menoleh sekilas ke arah jam tangannya. Beberapa saat menghampiri jam 10.30 pagi. Masa rehat seharusnya sudah tamat sekarang, Killa mengagak. Killa mula melangkah menuruni tangga yang dilaluinya tadi. Senyuman masih tidak lekang dari wajahnya. Hati siapa yang tidak gembira? Killa sempat lagi bermonolog.

Sebaik dia membelok untuk menuruni tangga seterusnya, Killa terpempam. Sekumpulan pelajar Tingkatan 6 Atas masih berkerumun di tempat itu dan dia segera sahaja teringat, itulah kumpulan pelajar yang sama, yang telah menyapanya dengan penuh ‘kesopanan’ tidak lama dahulu. Senyumnya mati tiba-tiba. Apalah nasib, bertemu lagi spesies budak Na’za... Killa merungut dalam hati. Dia teringat akan watak Na’za, anak Raja Lembu yang kejam dan nakal, yang pernah ditontonnya dalam siri ‘Journey to the West’. Berbuat-buat tidak tahu, Killa pantas melangkah mahu melewati kumpulan itu. Matlamatnya hanya satu, dia mahu cepat-cepat ‘terlepas’ dari tempat itu!

“Hai, apa khabar cikgu?”

Suara Reen Ray Xiao yang jelas dan cukup kuat, singgah pada pendengarannya sebaik sahaja dia melalui kumpulan itu. Ah sudah, Killa berasakan mahu saja dia berteriak saat itu. Perlahan dipalingkan wajahnya menghadap Reen Ray Xiao. Sebaik sahaja kedua-duanya kini memandang satu sama lain, Reen Ray Xiao menghadiahkan sebuah senyuman yang lebih berupakan sindiran kepada Killa. Senyuman budak jahat! Killa mencebik dalam hati.

“Reen Ray Xiao...” Tidak semena-mena pula dia menuturkan nama Reen Ray Xiao. Bahana geram, ini lah jadinya... Killa mengeluh dalam hati. Rasa mahu diketuk sahaja kepalanya itu. Semakin lebar pula senyuman Reen Ray Xiao.

“Cikgu tahu nama saya ke? Thanks cikgu...”

Sebaik berkata demikian, pantas rakan-rakan Reen Xiao yang sekadar diam memerhati dari tadi tergelak. Pernyataan ‘terima kasih’ yang diucapkan dengan nada dibuat-buat oleh Reen Ray Xiao mungkin membuat mereka geli hati. Killa menjeling sekilas ke arah Brian, Fandy dan Alan. Semuanya memang sahabat setia kepada hantu Reen Ray Xiao itu! Sekepala dan sepuaka. Segera tawa ketiganya menjadi reda namun berganti bisikan-bisikan halus sesama mereka pula. Sakit hati Killa melihatkan.

“Ada apa hal cikgu dipanggil ke bilik Pengetua tadi? Melakukan kesalahan ke?” Reen Xiao bersuara kembali dengan raut wajah yang sengaja ditegangkan, tunjuk serius kononnya.

Killa cuba bersabar. Mungkin Reen Ray Xiao itu benar-benar berpuaka, tidak tahu menghormati orang lain. Walaupun Killa sedar dia bukan guru sebenar namun tingkah laku Reen Ray Xiao itu sedikit sebanyak menghiris hatinya. Mereka tidak mengenalinya, seharusnya ada sedikit rasa hormat dan kesopanan yang ditunjukkan. Ini tidak, sembarangan sahaja bertanyakan hal orang lain. Ini lebih daripada menjaga tepi kain orang! Killa benar-benar cuak.

“Kenapa perlu tahu urusan cikgu? Bukankah sekarang kamu semua sepatutnya sudah pun berada di dalam kelas? Masa rehat sudah tamat...”

Killa bersuara tenang, berusaha kuat untuk mengumpul sisa-sisa ketenangan yang masih ada. Jangan sampai Reen Ray Xiao atau kawan-kawannya mengesan gelodak emosi yang sedang dialaminya itu. Dia yakin, itu hanya akan menambah bahan ketawa kumpulan pelajar tersebut. Reen Ray Xiao sekadar tersenyum selamba seraya memandang jam di tangannya.

“Jam saya menunjukkan adanya seminit lagi untuk waktu rehat”

Reen Ray Xiao mengulurkan tangan menunjukkan masa yang ditunjukkan pada jam tangannya - 10.33 AM. Tidak ada seminitnya. Melampau! Killa mengetap bibir. Tiada rasa hormat dan berbuat sesuka hati, peraturan masa juga senang-senang dipermainkannya.

“Reen Ray Xiao, awak jangan main-main lagi. Jam awak tu tunjukkan 10.33 pagi. Masa rehat sudah tamat 10.30 tadi... sepatutnya sekarang awak dan rakan-rakan sudah berada di dalam kelas masing-masing” Killa tetap berusaha untuk mengawal darjah kesabarannya.

“Kalau masa rehat sudah tamat tadi, maka sekarang ini masa saya... I can do my own things then.

Reen Ray Xiao menyandarkan tubunya ke tiang penyokong bumbung yang menaungi laluan bertangga tersebut. Killa tertegun. My own things? Reen Ray Xiao memang kepala batu, batu yang diperbuat dari mana Killa sendiri tidak tahu. Hatinya berkira-kira, mahu saja dilapor hal itu kepada pihak disiplin. Senang cerita! Biar budak Na’za itu menerima hukuman akibat kedegilannya. Sama seperti Na’za yang dihukum oleh Wu Kong dan Dewi Kuanyin dalam cerita ‘Journey to the West’.

“Kalaupun ini masa awak, tidak bererti awak boleh salah gunakan masa awak sesuka hati. Tambahan, awak berada dalam kawasan sekolah sekarang, apapun juga, awak masih ada peraturan yang perlu dipatuhi di sini. Bukannya begini”

Killa bertekad, jika Reen Ray Xiao dan kawan-kawannya itu masih berdegil, dia akan melaporkan saja perbuatan mereka kepada pihak disiplin nanti. Dia tidak kisah akan apa yang berlaku kelak, perbuatan mereka itu tidak boleh dibiarkan. Biar mereka terima akibatnya! Killa menimbang-nimbang.

“Salah gunakan? Sesuka hati? Teacher, what do you think that I’m doing with my time now?” Reen Ray Xiao melangkah dekat kepadanya. Tajam saja pandangannya ke arah Killa, benar-benar menguji kesabaran gadis itu.

“Melepak. Itulah yang sedang awak lakukan” Killa membalas perlahan. Kalau boleh, mahu saja sebenarnya dia menyenaraikan kata-kata seperti membuli, tidak menghormati orang lain, degil, keras kepala, penting diri namun semuanya tersimpan kemas. Istilah ‘melepak’ mungkin perkataan yang paling baik boleh diucapkannya untuk menggambarkan perbuatan Reen Ray Xiao dan rakan-rakannya. Reen Ray Xiao terdiam memandangnya seketika lalu kembali tersenyum sinis.

But, I’m not. Saya tak suka melepak. This.. Ini juga perkara berfaedah” Tiba-tiba pula nada suara Reen Ray Xiao berubah menjadi serius. Killa bingung sesaat. Adakah Reen Ray Xiao sedang cuba membela dirinya? Tahu juga dia membela diri rupanya, Killa mencebik. Entah mana faedahnya yang dimaksudkan oleh Reen Ray Xiao, dia sendiri tidak nampak logiknya perkataan yang baru dituturkan oleh pelajar itu.

“Cikgu, bertegur sapa dengan seorang guru bukankah satu sikap yang baik? I’m just trying to get to know who you are. Don’t blame me easily on that, Sweet ... Teacher” Reen Ray Xiao tersenyum seraya mengenyitkan mata ke arah Killa.

Speechless! Itu lah yang mampu Killa gambarkan mengenai situasinya sekarang. Meluatnya dia! Direnung tajam wajah Reen Ray Xiao yang kini berdiri tegak dan selamba di hadapannya. Baru sahaja dia membuka mulut lagi mahu mengatakan sesuatu, Reen Ray Xiao sudah berpaling dan melangkah pergi, diikuti oleh Brian, Fandy dan Alan. Killa terpinga-pinga, Budak Na’za itu memang tahu mempermainkan perasaan orang lain dengan mudah! Killa mengetap bibir memandang kumpulan itu melangkah. Dia benar-benar geram.  

Tidak semena-mena Reen Ray Xiao berpaling memandangnya semula dan melemparkan senyuman sinis. Killa berasakan wajahnya seperti menjadi merah padam. Apakah dia di hadapan pelajar itu sehinggakan dia berasa tidak dianggap seperti seorang guru sama sekali? Melihatkan Reen Ray Xiao, wajahnya sahaja kacak tapi perangai macam hantu! Killa bergegas menuruni tangga. Hatinya perlu dipujuk. Sudah lama dia tidak berasa hatinya sepanas itu.


To be continued....


0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting