Pages

Wednesday, 14 March 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 7

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Wednesday, March 14, 2012
BAB 7

Hari Sabtu itu, Killa mengambil keputusan untuk membantu Raen Jay Xiao berkenaan dengan pasukan koir sekolah. Kebetulan, Aaron mempunyai aktiviti kokurikulum yang perlu dihadirinya di sekolah pada hari yang sama. Mengingatkan pesanan pegetua, menguatkan lagi keinginan dan keyakinan Killa untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sekolah itu. Killa menimbang-nimbang, tidak ada salahnya dia melibatkan diri sama dalam aktiviti yang sedang diuruskan oleh Raen Jay Xiao, dia yakin dia juga akan beroleh pengalaman baru yang menarik dan berguna.

Encik Ranis menghantar keduanya ke sekolah seawal pagi Sabtu itu. Tidak menjadi masalah baginya untuk menghantar mereka memandangkan setiap hari Sabtu pada setiap minggu, dia dan Puan Martha akan turun ke pekan untuk berniaga dan juga membeli barang-barang keperluan di rumah. Perjalanan ke pekan akan melalui kawasan sekolah terlebih dahulu. Hari Sabtu itu, beberapa guni buah keladi sudah tersusun kemas di bahagian belakang kenderaan Toyota Hilux hitam milik Encik Ranis, siap sedia untuk dihantar terus ke pasar borong di pekan nanti. Killa yakin, hasil tanaman buah keladi itu pasti sudah ada si pemesannya.


“Kak, Cikgu Raen tu suka kat kakak agaknya kan? Nampak kakak aje, mesti dia senyum” Aaron mengusiknya sejurus Encik Ranis memandu keluar dari perkarangan sekolah. Killa yang masih melambai ke arah Puan Martha yang duduk di sebelah kerusi pemandu, pantas saja menoleh. Mula lagi budak ni... Killa menggerutu perlahan.

“Aaron! Dah tak ada modal lain nak bercakap ke?” Killa membalas geram. Mujur saja tidak ada sesiapa yang berdekatan di kawasan pekarangan sekolah ketika itu. Kalau tidak, boleh saja usikan Aaron itu menimbulkan perhatian orang lain. Mahunya, dicekup saja mulut Aaron. Padan muka!

“Marah lagi! Betul lah tu... hehehe” Aaron terkekeh-kekeh ketawa.

“Mana buktinya, tidak ada fakta yang mengatakan bila marah, semuanya benar tahu” Killa lancar saja menafikan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Aaron boleh pula sesuka hatinya menggunakan perumpamaan itu. Ingat betul sangat ke? Ish...

“Kakak lah buktinya! Dah ada depan mata, buat apa Aaron cari bukti yang jauh-jauh lagi. Menyusahkan aje”

Selamba saja Aaron menjuihkan bibir menjawab pertanyaan kakak yang disayanginya itu. Dia suka melihat Killa marah-marah, gembira benar hatinya bila dapat mengenakan kakaknya yang seorang itu. Sudahnya, dia mendapat pukulan penumbuk percuma di bahu daripada Killa. Tersengih-sengih Aaron memandang ke arah Killa sambil mengurut-ngurut bahu, tidak cukup dengan itu, ditayangkan pula raut wajahnya yang berkeriut seolah-olah dia benar-benar dalam kesakitan yang teramat sangat. Hah, mengadalah tu! Rasakan! Killa tesenyum kemenangan.

“Ha, itu pun Cikgu Raen dah siap tunggu kakak kat gazebo... Aaron mohon diri dulu ye, jam 12 tengahari nanti Aaron jumpa jumpa kakak balik, nanti Aaron SMS...”

Makin lebar saja sengihan Aaron, mana mungkin ada orang sakit yang boleh tersenyum selebar itu? Sakit angau mungkinlah. Geramnya! Killa mengecilkan mata memandang Aaron yang kini menuju ke koridor bertentangan. Mahu tidak mahu, dia sekadar mengangguk. Di rumah nanti, dia punya banyak kesempatan untuk menjalankan misi ‘balas dendam’nya, Killa merancang-rancang. Dia segera mengatur langkah menghampiri gazebo yang diduduki oleh Raen Jay Xiao. Beberapa langkah, Raen Jay Xiao mengesan kehadirannya dan tersenyum.

“Cikgu dah lama sampai ke? Maaflah kalau saya terlambat sedikit” Killa menegur dahulu. Sempat dia melirik penampilan Raen Jay Xiao hari itu. Tanpa pakaian formal yang membaluti, Raen Jay Xiao kelihatan berbeza. Dengan T-Shirt ala jersi berwarna kuning dan seluar jean hitam, Raen Jay Xiao kelihatan bergaya dan lebih ranggi. Dalam hati, Killa memuji ikhlas kekacakan guru muda itu.

“Taklah lama sangat. Saya yang datang awal. Awak dah sarapan ke?” Ramah Raen Jay Xiao membalas sapaan Killa sebentar tadi. Dipandang sekilas ke arah penampilan gadis itu. Pemakaian seluar Track-Suit berwarna krim dan T-Shirt hitam berkolar dengan tulisan ‘Athena’ tertera di sebelah hadapan bahu kiri, membuat Killa kelihatan ringkas tetapi tetap kemas. Rambut yang lurus dan sedikit ikal di hujungnya diikat separuh, menyerlahkan keayuan Killa di matanya. Kecantikan asli gadis remaja itu memang mampu saja mengocak perasaannya kala itu. Raen Jay Xiao menghela nafas perlahan.

“Oh, dah... Saya dah sarapan kat rumah tadi” Killa tersenyum. Khayal seketika Raen Jay Xiao menatap ke arah dua lesung pipit yang terbentuk di bahagian kiri dan kanan bibir gadis itu, cukup manis.

Killa membetulkan kedudukan beg sandang yang dipakainya dan memandang ke arah sekeliling. Gelanggang bola keranjang dapat dilihat dari tempatnya berdiri sekarang dan kedengaran bunyi lantunan bola dari gelanggang itu, menandakan sudah ada pelajar yang sedang bermain bola keranjang. Pokok-pokok angsana yang tumbuh merimbun di bahagian luar pagar gelanggang bola keranjang bagaimanapun menghalang pandangan matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Killa kembali menoleh ke arah Raen Jay Xiao yang masih memandang tepat ke arahnya. Killa kebingungan seketika.

“Kenapa cikgu pandang saya mcam tu? Jawapan saya tak meyakinkan ke?” Killa diburu rasa kehairanan. Raen Jay Xiao segera tertawa kecil, mujur kelakuannya tadi tidak disedari oleh Killa.

“Tak adalah begitu. Kalau awak nak second breakfast lagi pun tak apa juga, saya boleh tolong tunjukkan awak arah ke kantin” Raen Jay Xiao berseloroh. Killa tertawa. Pandai juga rupanya Raen Jay Xiao itu berlawak.

“Wah, tunjuk arah ke kantin sahaja ke?” Killa ikut menduga, sengaja dia mahu melihat reaksi guru lelaki itu. Lagipun Raen Jay Xiao sendiri yang memulakan gurauan itu. Apa salahnya dia tumpang mengusik sekali. Killa tersenyum sendirian.

“Hmmm, kalau Cik Killa sudi benarkan saya belanja, saya boleh aje sebenarnya” Raen Jay Xiao tersengih panjang. Dia sendiri tidak faham, ringan saja mulutnya menuturkan kata-kata tadi. Meletus tawa Killa. Mungkin berasa lucu dengan jawapannya. Raen Jay Xiao tidak kisah, dia benar-benar menyukai keadaan itu, keadaan di mana dia boleh melihat senyum dan tawa Killa di hadapannya. Tidak mahu Killa diburu kehairanan lagi seperti tadi, pantas dia bangkit dari duduknya.

“Okey, jom Killa! Kita ke Dewan Muzik sekarang” Raen Jay Xiao mengajak.

Killa hanya mengangguk dan menuruti langkah panjang Raen Jay Xiao. Beberapa langkah, dia seolah-olah mendengar lelaki itu menyanyi-nyanyi perlahan. Killa memasang telinga, cuba mendengar dengan lebih jelas, takut-takut dia yang tersalah dengar pula. Memang benar, Raen Jay Xiao sedang bernyanyi-nyanyi kecil. Killa berusaha menahan kelucuan. Suara boleh tahan, tapi kelakuan Raen Jay Xiao sekarang itu benar-benar mencuit hatinya.

“Cikgu, rasanya saya ada terdengar orang menyanyi” Killa tersengih. Timbul pula keinginannya mahu menyakat.

“Ye ke? Awak pun dengar sekali? Merdu kan?” Raen Jay Xiao tersenyum-senyum  membalas. Wah, boleh perasan juga dia, Killa tertawa-tawa dalam hati. Makin galak saja dia mahu mengenakan Raen Jay Xiao.

“Entahlah, saya tak pasti pula tentang itu”

“Hah, tak pasti? Awak kan dah dengar sendiri? Apa pula tak pasti?”

“Saya tak pasti petanda apa yang dibawanya...  hmm...” Killa membuat aksi berfikir. Pura-pura tidak sedar akan jelingan yang diberikan oleh Raen Jay Xiao.

“Petanda? Petanda apa?” Kali ini pertanyaan Raen Jay Xiao lebih bernada ingin tahu. Mungkin dia benar-benar ingin tahu maksud di sebalik kata-kata Killa. Nyanyiannya membawa petanda? Rasa ingin tahu mula bersarang di benaknya.

“Entahlah, rasanya itu petanda hari nak hujan”

Killa menjawab penuh yakin, pura-pura tidak memandang ke arah Raen Jay Xiao yang kini terhenti melangkah, sebaliknya tercegat memandangnya. Killa yakin, Raen Jay Xiao sudah ‘terkena’. Killa hanya menunggu saat untuk mengibar bendera kemenangannya. Hooray...

“Killa, awak kenakan saya ye? Apalah... Saya nyanyi merdu okey...” Raen Jay Xiao menarik muka. Sampai hati Killa mengatakan nyanyiannya itu akan membuat hujan turun? Namun terdetik juga rasa gembira di hatinya bila menyedari gadis itu sudah mula bergurau dengannya. Killa tertawa besar kali ini. Dia benar-benar gembira dapat mengenakan Raen Jay Xiao.

“Boleh lah...” Killa malas-malas menjawab sejurus tawanya reda, ternyata benar dia masih berniat menyakat lelaki itu. Raen Jay Xiao menggeleng-gelengkan kepala melihatkan Killa yang masih menguntum senyum nakal. Boleh tahan nakal juga gadis bernama Deanna Akylla ini, hatinya berbisik sendiri. Tetapi, dia tidak dapat menolak hakikat yang dia benar-benar terhibur dengan tindakan Killa.

“Mungkin sebab itulah saya memang perlukan bantuan awak...”

Killa merenung sekilas wajah Raen Jay Xiao. Kurang jelas dengan maksud kata-kata lelaki itu. Apa yang dia tahu, Raen Jay Xiao meminta bantuannya untuk mengendali pasukan koir sekolah. Bantuan apa lagi yang dimaksudkan olehnya? Killa hairan lagi. Berkerut wajahnya memandang Raen Jay Xiao.

“Perlukan awak untuk ajar saya menyanyi dengan lebih baik dan awesome!” Panjang sengihan Raen Jay Xiao kala memandangnya semula. Terangkat kening Killa, tidak lama kedua-duanya tertawa.

“Pandai... Nanti saya ajarkan cara nyanyi yang lagi tak betul, baru tahu. Bukan hujan saja, ribut taufan datang mengiring. Mahu begitu?” Killa memulangkan paku buah keras.

No good... No good... That’s a terrible disaster” Raen Jay Xiao akhirnya mengalah.

Raen Jay Xiao mengerling sekilas ke arah Killa yang hanya tersenyum dan sedang memandang ke hadapan. Hatinya tiba-tiba berasa hangat dengan kehadiran Killa di sebelahnya, sedang melangkah seiringan dengannya. Killa seolah-olah mempunyai tarikan yang sukar untuk dijelaskan olehnya melalui kata-kata. Senyuman gadis itu sahaja sudah membuat hatinya bagai dibuai-buai, apatah lagi bila dapat berbual-bual dengan Killa seperti sekarang. Di sebalik kesunyian sejenak itu, Raen Jay Xiao hanyut dalam fikirannya sendiri, berperang dengan perasaan hatinya yang kini bergetar dan hanya menunggu masa untuk dilepaskan.


To be continued....


2 Wizard Spells Here:

Mon Ashmy said...

wahh..mcm novel dh..^^

Witch Vera said...

hihi... ini lah kerja yg dibuat msa tidak tau mau buat apa... hahhaa! haiz.... :S

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting