Pages

Saturday, 16 June 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 10

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Saturday, June 16, 2012

BAB 10

Reen Ray Xiao melangkah longlai ke arah salah sebuah meja panjang yang terdapat di kantin sekolah itu. Itu pun setelah matanya galak memerhati ke segenap penjuru kantin, memastikan hanya meja yang benar-benar bersih menjadi sasarannya untuk duduk berehat. Pantang baginya melihat keadaan yang kotor; butiran nasi atau pecahan kuih muih yang terbiar di atas meja boleh saja membuatnya hilang ‘mood’.

Spontan Brian dan Fandy mengekori langkahnya dari belakang. Melihat mesin pembelian minuman tin automatik yang menunjukkan isyarat berfungsi, Brian tersengih kecil. Pantas diletakkan beg sandangnya ke atas meja, dikeluarkan dompet dan sejenak dia leka menghitung kepingan syiling di tangan. Beberapa saat, Brian mengangkat wajah memandang ke arah Reen Ray Xiao dan Fandy. Sengihannya melebar.

“Aku tak cukup syiling lah...”

Reen Ray Xiao dan Fandy bertukar pandangan lantas menggelengkan kepala. Serentak keduanya mengeluarkan dompet masing-masing.

“Nah, asyik engkau aje yang menghadap mesin tu. Silap haribulan, mesin tu jatuh cinta dengan kau, baru tahu” Fandy menyakat. Reen Ray Xiao sekadar tersenyum kecil.

“Hehe... thanks geng!” Brian bersiul-siul riang menuju ke arah mesin pembelian minuman automatik yang terletak di bahagian belakang. Fandy memerhati seketika sebelum turut mengambil tempat di samping Reen Ray Xiao. Dijeling sekilas ke arah temannya itu.

“Maaflah, aku menyibuk sikit Reen. Tadi tu kenapa? Kau gaduh dengan ‘Sweet Teacher’ tu lagi ke?” Fandy melontarkan pertanyaan. Rasa ingin tahu yang bersarang di hatinya mendesak-desak untuk dikeluarkan. Takut juga kalau-kalau Reen Ray Xiao marah akan pertanyaannya namun dia berasa tidak salah sekadar bertanya. Reen Ray Xiao melepas keluhan kecil.

“Entah, kau rasa aku gaduh ke dengan budak entah dari mana tu?” selamba Reen Ray Xiao membalas. Fandy terlopong seketika.

“Budak? Kau biar betul Reen. She’s our teacher wor. Well, at least in this school” Fandy tergelak kecil. Namun, gelaknya terasa sumbang bila Reen Ray Xiao tetap berwajah serius dan selamba. Sudahnya, Fandy menelan liur, mengetawakan dirinya sendiri.

Never ever be my teacher. She’s rude

Kembali, selamba Reen Ray Xiao membalas. Namun kali ini, kedengaran jelas nada mencebik dari percakapannya. Mengenang kembali cara gadis itu membalas kata-katanya di koridor tadi membuat darahnya terasa mendidih pula. Tajam tatapan mata gadis itu bagai pedang yang mencantas maruahnya tadi. Namun dia sendiri tidak pasti akan punca sebenar dia bersikap sedemikian tatkala menyedari kehadiran gadis itu tadi. Niat asalnya mahu mengetahui sebab ‘kewujudan’ gadis itu di sekolah dan kalau diikutkan ketidaksabarannya, mahu saja dia bertanya ‘straight to the point’ akan hubungan sebenar di antara gadis itu dengan abangnya. Tapi lain pula yang berlaku.

Really? Rude ke kalau tolong tengokkan mata cikgu sekali?”

Fandy mengambil kesempatan kembali untuk mengusik. Dalam diam dia yakin, bukan itu perkara sebenar yang telah terjadi. Untuk membalas panggilan seseorang pun agak sukar untuk melihat Reen Ray Xiao memberi perhatian, apatah lagi untuk menghulur bantuan. Tambah-tambah lagi untuk orang yang belum begitu dikenalinya. Reen Ray Xiao pantas menoleh dan membulatkan mata. Kurang senang pula hatinya mendengar usikan Fandy. No! Itu bukan gayanya!

“Kau ingat aku ni baik sangat ke nak tolong merawat orang? No way!” Reen Ray Xiao membuang pandangan ke arah koridor yang menghubungkan kompleks bilik guru, permatang pelajar dan juga kantin. Belum ada tanda-tanda kelibat Alan akan muncul. Dengusan perlahan dilepaskan.

“Jadi yang tadi tu, yang dekat sangat tu apehal? Or... jangan-jangan kau nak...”

Fandy memandang tepat ke arah Reen Ray Xiao dengan raut wajah yang penuh ‘suspicious’. Niatnya masih mahu menyakat namun diselang seli dengan usahanya untuk mengetahui kebenaran. Belum sempat ayat dihabiskan, pantas bahunya ditepuk oleh Brian yang kini memegang setin minuman 100 Plus.

“Whooa... Kenapa muka engkau merah semacam ni? Engkau kalah debat dengan Fandy ni ke?” Brian mengambil kedudukan kerusi berhadapan Fandy dan Reen Ray Xiao. Reen Ray Xiao sekadar diam dan melirik ke arah Fandy yang sekadar tersengih.

“Tak ada kalahnya. Tadi aku buat Mission Impossible. Liat sangat la pula target aku tu!” Fandy berseloroh. Brian mengerutkan dahi seketika, lalu turut tersengih.

“Yang kau buat sorang-sorang kenapa? Aku ada, mission accomplished, confirm. Aku gerenti!” Kedua-duanya lalu tertawa serentak. Seronok apabila dapat bersatu-padu menyakat Reen Ray Xiao. Sudahnya, Reen Ray Xiao hanya mampu menggelengkan kepala.

“Tak apa, aku tahu aku artis” Selamba Reen Ray Xiao mengeluh. Semakin kuat sahaja tawa mereka menghiasi kesunyian kantin sekolah. Mujur tidak ada pelajar lain di kawasan berdekatan, kalau tidak pasti mereka menjadi perhatian.

Hi guys, sorry aku lambat” Alan muncul dari belakang. Tercungap-cungap nafasnya seolah-olah baru sahaja menghabiskan larian padang. Reen Ray Xiao, Brian dan Fandy berpandangan. Hairan melihat kemunculan Alan dari arah yang berlawanan.

“Eh, bukan tadi engkau kat pejabat papa engkau ke?” Brian menyoal mewakili kehairanan rakan-rakan yang lain.

“Yang kau macam nak putus nafas ni kenapa pula? Hairan sungguh aku...” Fandy pula menambah. Alan mencebik.

“Bagilah aku duduk dulu. Apa punya sahabat la korang ni. Tak ada rasa kesian langsung! Heii...” Alan melabuhkan punggung ke kerusi. Brian dan Fandy saling tersengih.

“Opsss... Kitorang excited nak jumpa kau. Tu yang tak sempat nak persila duduk tu. Hah, duduk, duduk. Aku ada 100 Plus ni kalau nak minum...” Brian beraksi seperti pelayan yang penuh beretika pula.

“Motif...sangat!” Alan memucungkan bibir, memprotes aksi Brian. Sudahnya, keempat-empat sahabat rapat itu tertawa besar. Sunyi menguasai seketika, beberapa minit barulah Alan membuka beg sandangnya dan mengeluarkan sebuah fail. Perbuatannya menarik tumpuan Fandy, Brian dan Reen Ray Xiao.

“Memang tadi aku kat pejabat papa. Aku jumpa satu fail yang menarik. Tapi memandangkan aku tak berani nak bawa fail tu keluar, aku scanned aje dari mesin scan then transfer ke pendrive. Aku lambat sebab keluar tadi untuk printing. Tak berani nak print out kat koperasi sekolah, takut mereka tahu pula.  Penat gila tu nak berjalan keluar dan masuk kembali.” Panjang penjelasan Alan, semakin membuat ketiga-tiga yang lain memberi perhatian.

“Fail ni adalah unauthorized copy okey. So selepas hari ni dan selepas korang tahu tentang maklumat ni, aku akan hapuskan fail ni. Harap korang bagi kerjasama...” Alan memberi peringatan ala-ala Komando. Brian sudah mula tersengih-sengih menahan tawa. Fandy juga.

“Hoi, aku serius lah!” Alan menayangkan wajah serius. Walhal, dia sendiri ingin tertawa. Tercuit hatinya melihat reaksi rakan-rakan yang terangguk-angguk mendengar penerangannya tadi.

“Yalah, yalah...” Fandy menutup mulut dengan kedua-dua tangan. Aksinya pula membuat Reen Ray Xiao tertawa kecil.

“Kau ni memang terlebih hormon erk hari ni?”

Fandy menjegilkan mata. Pantas dijatuhkan kedua-dua tangannya ke atas meja. Sebal.

“Kalau korang nak tahu, fail ni tentang Deanna Akylla”

Fandy, Reen Ray Xiao dan Brian bertukar pandangan. Cuba mengingati sesiapa sahaja yang mereka mungkin kenal dengan nama yang baru sahaja dituturkan oleh Alan. Alan sekadar tersenyum sumbing. Mana mungkin ada antara ketiga-tiganya itu yang tahu atau kenal akan seseorang yang bernama Deanna Akylla. Malah dia sendiri, itulah kali pertama dia mengetahui akan pemilik nama tersebut.

“Tak payah nak fikir-fikir lagi. Korang memang tak kenal. Tapi jumpa tu dah kira banyak kali lah kot.” Kata-kata Alan semakin membuat ketiga-tiganya bertambah hairan, hanya menambah persoalan di minda.

“Siapa tu? Secret admirer kau ke? Tak pun, orang yang kau minat? Biar betul, Baptiza kau nak letak mana nanti?” Fandy bertubi-tubi menyoal. Siap menyebut nama kekasih hati Alan, Baptiza Desmond, gadis kacukan Rungus-Kadazan yang berwajah comel dan merupakan pelajar Tingkatan 5 di sekolah itu.

“Kalau Baptiza aku tak jumpa dan tak kenal dulu, mungkin aku boleh minat juga kot dengan Deanna Akylla ni...” Alan tertawa-tawa. Jawapannya ternyata membuat Reen Ray Xiao sedikit hilang sabar.

“Bagi sini fail tu. Banyak mukadimah pula engkau ni” Reen Ray Xiao menghulurkan tangan. Alan sekadar tersengih dan menyerahkan fail kepada Reen Ray Xiao.

“Aku harap kau tak terkejut. Lagipun, aku dapatkan benda ini pun sebab kau yang mahu dulu kan? Ingat tak?” Alan bersuara agak serius kali ini. Reen Ray Xiao merenung tepat ke arah wajah Alan sejenak sebelum mula membuka kandungan fail. Diam. Brian, Fandy dan Alan sekadar memerhati reaksi wajah Reen Ray Xiao yang seolah-olah tidak berperasaan ketika menyelak satu persatu lembaran kertas di dalam fail tersebut.

Beberapa minit berlalu, Reen Ray Xiao memandang ke arah Alan semula dan meletakkan dengan selamba fail tadi ke atas meja.

So, it’s her. Deanna Akylla is her”. Datar. Alan mengangguk perlahan.

Melihatkan suasana yang pelik, kali ini Brian dan Fandy pula mencapai fail dan mula membaca setiap lembaran kertas dengan penuh minat. Lembaran terakhir merupakan salinan foto dan wajah yang terpamer di atasnya cukup membuat Brian dan Fandy terlopong.

Sweet Teacher...”

Yes. It’s her. Aku tak sengaja nampak fail yang mengandungi maklumat semua tenaga pengajar tuisyen sementara  ni atas meja papa. She’s not one of the official teachers in this school. I think less than two months, she won’t be around anymore. Macam yang korang boleh baca, dia baru aje habis SPM, so lepas ni dia mesti akan sambung study balik.” Alan menjelaskan.

So, she is doing teaching while waiting? With that age? 18?” Fandy seolah-olah kurang percaya. Alan mengangguk lagi.

“Yeap. Subjek Sejarah untuk pelajar Tingkatan 3. Dia pun bekas pelajar kat sekolah ni juga. Kalau korang ingat board kat Bilik Mesyuarat Agung tu, ada tunjukkan senarai nama pelajar Score A untuk PMR kan? Nama dia ada tercatat kat situ dengan gambar sekali tapi aku tak perasan sampailah hari ini. Fandy, kalau kau ingat, dialah student yang engkau cakap ‘dalamnya lesung pipit, cucuk pakai apa ni’, masa nampak gambar-gambar tu dulu. Kebetulan masa tu kita baru je Form Lower 6, dan kau pula duduk depan board tu.” Alan mengingatkan.

“Ha’ah lah. Apesal aku tak dapat ingat erk?” Fandy menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tapi memanglah dia tidak dapat mengingatinya, kali terakhir dia memasuki Bilik Mesyuarat Agung pun adalah ketika awal tahun dan posisi kedudukan juga sudah berubah. Paling utamanya, gambar itu diambil ketika Deanna Akylla baru berada dalam Tingkatan 3, tempoh dua tahun pasti telah mebawa perubahan kepada penampilannya. Satu perkara yang diakuinya, lesung pipit ‘Sweet Teacher’ itu. Cuma dia memang tidak dapat melihat persamaan tersebut.

Reen Ray Xiao sekadar diam dan mendengar. Untuk mengongsikan perasaan yang ada dalam hatinya selepas mengetahui maklumat dan kebenaran mengenai gadis itu, dia tidak mempunyai modal untuk diperkatakan. Dia tidak pernah mengenal gadis itu. Ada sedikit rasa serba salah menerpa masuk apabila menyedari layanan kasar yang ditunjukkan kepada gadis itu namun Reen Ray Xiao malas mahu berfikir lebih panjang.

Let her go then. Budak kecil jangan ganggu.” Selamba Reen Ray Xiao bersuara. Pernyataannya sempat membuat Fandy, Alan dan Brian tertegun seketika.

“Kenapa, kau rasa bersalah ke sebab kita ni dah membuli, begitu?” Alan sedikit kehairanan.

“Membuli? Hei, rendah sangatlah standard yang  kau bagi tu. Itu namanya ‘welcoming treatment’. Sekarang, treatment dah habis.” Reen Ray Xiao tertawa pendek. Alan tersengih. Brian dan Fandy sekadar tersenyum sumbing.

“Habis tu, kita nak buat apa kalau bertembung lagi dengan Sweet Teacher?” Brian pantas menyoal. Panggilan ‘Sweet Teacher’ masih sukar untuk dielakkan baginya. Fandy pantas menepuk bahu Brian, mengingatkan identiti sebenar Deanna Akylla.

“Entah. Tengok lah. Now, she’s just like the others to me.”

Reen Ray Xiao membalas dengan nada mendatar. Brian, Alan dan Fandy sekadar mengangguk-angguk perlahan, tanda faham. Tidak mahu bertanya lebih lanjut lagi.


To be continued....



0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting