Pages

Monday, 18 June 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 11

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Monday, June 18, 2012

BAB 11

Sebulan lagi, keputusan SPM dijangkakan akan dikeluarkan dan Killa semakin berdebar menantikan hari tersebut. Debaran penantian yang sama juga dirasakan oleh ketiga-tiga rakannya yang lain iaitu Lyn, Eyza dan Betsy. Keempat-empat mereka berharap agar dapat melanjutkan pembelajaran ke peringkat Matrikulasi bersama-sama; belum bersedia untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing dalam mengejar cita-cita. Namun, seandainya ada yang akan terpaksa membawa haluan sendiri, Killa mahupun Lyn, Eyza dan Betsy sepakat untuk menerima dan berjanji untuk tetap saling berhubung kelak.

Semakin hari, Killa semakin selesa dan serasi berada di sekolah lamanya itu. Banyak memori lama yang dapat dikenang semula apabila kembali ke tempat itu. Setiap hari dan detik yang dilalui di sekolah itu membuat Killa semakin menghargai kesempatan yang diperolehnya, yang membolehkannya dapat menjejakkan kaki kembali ke sekolah lama. Persahabatan yang dibina dengan guru-guru baru dan juga lama menambah lagi keseronokannya menabur khidmat di sekolah itu.

Killa juga senang dengan sikap Raen Jay Xiao yang kelakar dan prihatin. Kehadiran guru itu membuat Killa terhibur dan tidak keseorangan. Sudah dua minggu dia menyertai sesi latihan koir yang dikendalikan oleh Raen Jay Xiao dan dia benar kagum dengan kebolehan lelaki itu bermain beberapa jenis alat muzik seperti keyboard dan gitar. Tidak hairanlah lelaki itu menjadi guru lelaki yang sering menjadi tumpuan mata pelajar, lelaki mahupun perempuan.

Pernah juga Killa memberanikan diri mengusik lelaki itu apabila menyedari ada lirikan mata nakal yang berterusan dari beberapa orang pelajar perempuan semasa latihan koir namun Raen Jay Xiao sekadar tersenyum kecil, dan menjawab ringkas ‘dari mata turun ke hati’. Killa mulanya tidak dapat menangkap maksud jawapan Raen Jay Xiao namun perlahan dia menyedari erti sebenar perkataan itu. Betapa indah sekalipun lirikan dan pandangan mata yang diterimanya, selagi belum mampu menundukkan hati terdalamnya sebagai lelaki, maka selagi itulah lirikan-lirikan sedemikian tidak membawa apa-apa erti baginya. Oh, begitu rupanya... Killa mencanak-canak dalam hati.

Dua minggu yang telah berlalu itu juga dirasakan Killa sebagai minggu-minggu yang aman dan tenang. Selepas pertembungan epiknya dengan Reen Ray Xiao di koridor dua minggu lalu, dia perasan Reen Ray Xiao tidak lagi bersikap seperti ‘hantu’ apabila bertembung dengannya di sekolah itu. Reen Ray Xiao hanya akan sekadar melayangkan pandangan kosong dan dingin, seolah-olah Killa benar-benar orang asing yang tidak pernah dikenali atau ditemui sekalipun. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Pelik. Pedas dan berkesan sangatkah kata-kata aku hari tu? Killa sedikit kehairanan. Perubahan sikap Reen Ray Xiao itu membuat Killa boleh bersikap lebih tenang setiap kali terpaksa melalui Reen Ray Xiao dan kumpulannya namun sedikit sebanyak Killa berasa janggal dengan perubahan drastik Reen Ray Xiao itu.

Loceng menandakan waktu rehat bermula bagi pelajar sesi pagi membuat Killa tersentak. Killa mengeluh perlahan. Melamun terlalu jauh inilah jadinya. Rosak rancangan asalnya mahu keluar dari kawasan sekolah itu sebelum waktu rehat bermula. Dia tidak begitu gemar melalui suasana kawasan sekolah yang sesak ketika waktu rehat sedang berlangsung. Killa hanya mampu merungut kecil. Boleh pula aku melamunkan sekali pasal budak Na’za tu. Haiz... Digelengkan kepalanya perlahan seraya mengemas dan memasukkan buku-buku kerja pelajar ke dalam beg sandangnya.

Selesai merapatkan daun pintu bilik kelas yang dikhaskan untuk tujuan kelas tuisyen dan kelas tambahan itu, Killa melangkah perlahan meninggalkan bangunan tersebut. Untuk ke pintu pagar utama sekolah, Killa harus melalui koridor yang menghubungkan pusat koperasi, bilik kemahiran dan pondok info pelajar. Ketiga-tiga kawasan tersebut merupakan antara kawasan yang paling sesak semasa waktu rehat kerana para pelajar akan berasak-asak untuk mengetahui info semasa, membeli makanan dan minuman dan bagi pelajar yang sedang mengambil subjek kemahiran, waktu rehat inilah yang akan digunakan untuk mengambil peluang menyiapkan projek kemahiran masing-masing yang masih terbengkalai. Killa faham semua itu kerana dia sendiri pernah mengalaminya.

Dari jauh, Killa cuba menduga keadaan kesesakan di hadapan Koperasi. Sebelum Koperasi itu, ada tangga bahagian tepi yang dihubungkan ke bangunan Tingkatan 6 Atas untuk memudahkan pergerakan pelajar Tingkatan 6 ke pusat informasi tanpa perlu melalui kawasan taman botani sekolah terlebih dahulu. Masih sesak. Killa menghentikan langkah seketika, menunggu kesesakan di kawasan koperasi berkurang sedikit. Beberapa minit, keadaan di hadapan koperasi mulai beransur lengang. Killa kembali melangkah, lega kerana tidak perlu bersesak. Namun...

Sejurus dia sampai di hadapan tangga yang berjarak hanya sekitar lima meter dari pintu koperasi, Killa tergamam dengan kehadiran sekumpulan pelajar lelaki Tingkatan 6 Atas yang melangkah pantas, sehingga merempuh Killa yang kebetulan berada di hadapan tangga. Killa panik apabila dia hampir tidak dapat mengimbangi diri, mujur dia dapat menolak tubuhnya ke sisi dinding tangga. Tidak mampu berbuat apa-apa, Killa akhirnya hanya mampu menahan nafas menunggu kumpulan itu selesai membuat pembelian di koperasi. Peluhnya merenik apabila menyedari keadaannya yang begitu rapat dengan beberapa orang pelajar lelaki dalam kumpulan tadi. Hatinya pula mencuak-cuak begitu dia menyedari beberapa pandangan dan lirikan pelajar itu yang baginya menimbulkan perasaan kurang senang.

Hoi, bagilah laluan dengan cikgu. Apa punya gaya pelajar pra-universiti lah korang ni!”

Satu teguran kasar dan garau dari belakang mengejutkan Killa dan juga para pelajar lelaki yang berkedudukan rapat dengannya. Killa cuba menoleh namun tubuh beberapa orang pelajar lelaki lain yang masih berdiri di anak tangga menghalang pandangannya.

“Cakap sekali tak cukup ke? Telinga korang tu untuk apa?”

Kembali suara tadi mengherdik. Para pelajar lelaki yang tadi begitu hampir dengannya kini saling bertukar pandang, seraya turut memandang tajam ke arah wajahnya. Killa agak serba salah namun dia berusaha untuk tidak ambil tahu, sebaliknya terus menundukkan wajah. Jarak di antaranya dengan para pelajar lelaki tadi mula kendur. Beberapa orang daripadanya pula terus melangkah meninggalkan kawasan tangga dan pusat koperasi sekaligus menjadikan kesesakan tadi mulai hilang.

Beberapa saat, Killa memberanikan diri untuk memandang ke atas tangga. Jantungnya terasa terhenti berdegup apabila melihat Reen Ray Xiao berdiri tegak dengan tangan dimasukkan ke dalam saku seluar, memandang tepat dan tajam ke arahnya. Di sampingnya Fandy manakala Brian dan Alan di belakang, masih di tingkat anak tangga yang lebih sedikit ke atas. Ya Tuhan, apakah semua ini? Takkanlah Budak Na’za itu mahu mencari pasal lagi dengannya? Killa terasa ingin menangis saja.

Sorry lah Reen, kitorang tak nampak dia tadi. Tu yang dia stuck tengah-tengah kitorang tu,”

Salah seorang dari pelajar lelaki yang begitu hampir dengan tubuhnya tadi tampil menjelaskan. Killa melirik sekilas, terasa ingin ditampar sahaja bibir pelajar lelaki di hadapannya itu. Betapa pun dia mahu menidakkan, naluri wanitanya tidak silap mentafsir pandangan seorang lelaki, apatah lagi pandangan pelajar lelaki tadi. Dasar lelaki! Killa mencebik dalam hati.

Reen Ray Xiao melangkah turun perlahan dari tangga. Direnung sejenak wajah Killa sebelum mengalihkan pandangannya ke arah pelajar lelaki tadi.

What did you call her just now? Dia?” Killa bingung mendengar nada sinis Reen Ray Xiao. Entah kenapa, saat itu, dia lebih ingin tahu maksud tindakan Reen Ray Xiao berbanding mendengar penjelasan munafik pelajar lelaki yang tidak tahu beradab sopan sebentar tadi.

“Engkau tahu ke ‘dia’ ni siapa? Kakak kau? Huh?” Reen Ray Xiao semakin rapat ke arah pelajar lelaki tadi. Pelajar itu mula terkebil-kebil, jelas terlihat dia mula gementar dengan jerkahan Reen Ray Xiao.

Okey, okey... Sorry lah, aku minta maaf...”

“Bodoh! Engkau minta maaf dengan aku buat apa?” semakin tinggi sahaja nada suara Reen Ray Xiao. Bulat dan tidak berkedip mata pelajar lelaki tersebut memandang ke arah wajah Reen Ray Xiao yang tegang. Tidak lama, kepalanya ditundukkan sebelum berpaling ke arah Killa yang hanya mampu terdiam membisu.

“Cikgu, saya minta maaf...”

Ada getaran dalam suara pelajar lelaki itu tatkala meluahkan permohonan maaf. Killa dalam sedar tidak sedar hanya mampu menganggukkan kepala. Saat itu, dia hanya mahu segera keluar dari keadaan tegang tersebut. Pelajar lelaki itu kembali menoleh ke arah Reen Ray Xiao sebelum tergesa-gesa melangkah meninggalkan kawasan tangga. Kini hanya Killa, Reen Ray Xiao dan rakan-rakannya yang masih berdiri, masing-masing mendiamkan diri. Killa memberanikan diri memandang ke arah Reen Ray Xiao yang masih tidak lepas memandang tajam ke arahnya. Anehnya, sinar mata lelaki itu tidak menunjukkan sinar kebencian seperti yang selalu dilihatnya dahulu. Killa semakin dilanda kekeliruan.

“Bukan selalu awak keluar lebih awal ke?”

Spontan Reen Ray Xiao mengemukakan pertanyaan. Killa terkebil-kebil sejenak, cuba memproses maksud pertanyaaan spontan lelaki itu. Sudahnya dia hanya mampu terdiam. Memang benar pun dia ingin keluar lebih awal, namun tidak semena-mena pula dia boleh terlajak hari itu. Dia tidak perlu menjelaskan perkara itu! Hanya akan memalukan. Killa mengeluh dalam hati.

Guys, let’s go!

Penuh selamba, Reen Ray Xiao lantas melangkah meninggalkan Killa yang masih tegak berdiri. Brian, Fandy dan Alan sekadar mengangkat tangan seketika ke arah Killa lalu menuruti dari belakang. Killa merenung ke arah Reen Ray Xiao yang semakin jauh melangkah. Betulkah budak Na’za itu baru sahaja menolongnya? Kalau betul, ikhlaskah pertolongan yang diberi? Killa benar-benar kebingungan dengan sikap Reen Ray Xiao. Namun, terdetik tiba-tiba di hatinya, tidak kira apa pun juga, setiap pertolongan haruslah dihargai, sekurang-kurangnya dengan sebaris ucapan terima kasih. Itu pesan mamanya. Tanpa berlengah, setengah berlari Killa berusaha menghampiri Reen Ray Xiao dan rakan-rakannya kembali.

“Reen Ray Xiao... Tunggu” hampir termengah juga dia cuba mengejar langkah lelaki itu. Mujur panggilan pertamanya itu disedari, kalau tidak... Killa hanya mampu menarik nafas lega apabila melihat Reen Ray Xiao perlahan menoleh ke belakang. Pandangan mata Reen Ray Xiao cukup menyatakan kepada Killa, lelaki itu sedang bertanyakan maksud panggilannya. Tidak perlu dia menunggu perkataan ‘kenapa’ dituturkan dari bibir lelaki itu.

Thanks...” sedaya upaya Killa cuba menuturkan ucapan terima kasih buat Reen Ray Xiao. Walaupun agak kekok, namun dia tidak mahu dilabel sebagai seseorang yang tidak tahu berterima kasih. Itu prinsipnya. Diam. Raut wajah Reen Ray Xiao tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Errm...” itu sahaja yang kedengaran dari Reen Ray Xiao. Seketika pandangan tepatnya jatuh ke arah wajah Killa sebelum dia berpaling semula dan kembali melangkah.

Killa melepas nafas perlahan. Dinginnya! Macam ais di kutub selatan. Ah, sekurang-kurangnya dia sudah berusaha mengucapkan terima kasih. Killa menyenangkan hati sendiri. Diatur segera langkahnya ke pagar sekolah. Betapa dia berharap agar kejadian seperti tadi tidak berulang lagi...


To be continued....


0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting