Pages

Sunday, 24 June 2012

Escritura Creativa: 'Strange Romance' Part 12

Hasil Ketak Ketik Magic Spell Witch Vera at Sunday, June 24, 2012

BAB 12


“Jangan lupa tau Killa, next week weekend saya dah book awak”

Raen Jay Xiao mengusik dan menjeling sekilas ke arah Killa yang sedang membantu mengemaskan kerusi selepas usainya latihan koir bagi kumpulan peserta koir sekolah. Diam, ternyata Killa tidak mendengar kata-katanya. Jam di dinding menunjukkan tepat jam 11.30 pagi. Dia maklum akan jadual Killa yang ‘diselaraskan’ dengan jadual Aaron pada waktu hujung minggu seperti ini. Dia hanya perlu menunggu Aaron selesai dengan aktiviti kokurikulumnya sebelum menghubungi Encik Ranis untuk menjemput mereka balik. Melihat Killa yang terkial-kial mengangkat beberapa tindihan kerusi ke sudut dinding, pantas Raen Jay Xiao menghulur tangan untuk membantu.

Thanks  cikgu. Saya ingat saya kuat sangat. Biasanya saya kuat”

Killa mempamer sengihan kecil, sekaligus turut mengetawakan kata-katanya sendiri yang sudah macam ‘masuk bakul angkat sendiri’ sahaja rasanya. Niatnya juga hanya mahu bergurau. Dia selesa di hadapan guru itu, dia sudah menganggap Raen Jay Xiao sebagai seorang kawan yang membuatnya gembira dan terhibur. Raen Jay Xiao sekadar tersenyum kecil. Sempat pula gadis itu menambah rasa dalam ucapan terima kasihnya.

“Yalah tu. Tadi awak tak dengar kata-kata saya ke?”

Raen Jay Xiao pura-pura menarik muka. Nakal pula hatinya mahu menduga reaksi gadis itu. Dia tidak jemu menatap seraut wajah Killa yang lembut dan sering pula tersenyum. Pagi itu, seperti hari-hari sabtu yang lalu, Killa hanya berpenampilan ringkas. Jeans berdenim hitam dan blous berwarna kelabu yang berpotongan leher ‘V’ ditambah dengan rambut hitam tebal dan lurus miliknya yang dibiar lepas bebas melebihi paras bawah dada memang menambah pesona tersendiri kepada gadis itu.

“Hurmm... Cikgu cakap apa tadi ya? Maaf mungkin saya tak dengar”

Killa mengerut dahi, cuba mengingati. Resah hatinya takut-takut dia sudah menyinggung perasaan Raen Jay Xiao. Sungguh, tadi dia benar-benar leka dengan tugasnya, dia tidak perasan kalau Raen Jay Xiao ada mengatakan sesuatu kepadanya.

“Cuba ingat lagi” Makin seronok Raen Jay Xiao mengenakan Killa. Killa melepas nafas perlahan, kembali berusaha mengingati. Sudahnya, dia hanya mampu mengeluh.

“Maaflah, tapi saya tak dapat ingat...” ada nada serba salah dalam jawapan Killa. Dia terpegun sejenak apabila Raen Jay Xiao tiba-tiba melepas tawa. Tahulah dia yang Raen Jay Xiao sedang mengenakan dirinya.

“Itu lah, awak sibuk sangat dengan kerusi-kerusi tu. Langsung tak pandang saya. Kalau diikutkan, saya lagi hensem dari kerusi-kerusi itu sebenarnya tau” Raen Jay Xiao terus tertawa. Killa mencebik bibir. Siap buat perbandingan lagi! Kalau kerusi tu manusia tak apa juga.... Killa kegeraman.

“Kalau cikgu kerusi, bolehlah saya pertimbangkan...” selamba pula Killa membalas. Pura-pura dibuangnya pandangan ke luar Dewan Muzik seraya menuju ke meja tempat dia meletakkan beg sandangnya sebelum latihan bermula pagi tadi. Kali ini Killa pula yang berusaha menahan tawa apabila mendengar tawa Raen Jay Xiao yang terhenti mendadak.

What? Sampai hati awak Killa...”

Raen Jay Xiao pula yang terkena kali ini. Ada-ada sahaja modal gadis itu untuk membalasnya. Namun hatinya tetap tersenyum begitu melihat kerlingan Killa yang jelas sedang tertawa kelucuan. Betapa tiba-tiba hatinya berdebar melihat Killa saat itu, ditambah apabila Killa kini bergerak mendekatinya dan berdiri tepat di hadapannya. Raen Jay Xiao, back to your sense! Sedaya-upaya dia berusaha berlagak seperti biasa.

“Ambil lah perbandingan lain. Ben Afflect ke, Lee Min Ho ke, Robert Pattinson ke... Senang saya nak jawab” Killa rupanya masih mahu menyakat. Siap menyebut nama barisan pelakon-pelakon lelaki luar negara yang cukup diminatinya. Raen Jay Xiao menggeleng-geleng kepala perlahan.

“Banyak kat dalam, awak masih nak yang dekat luar ye? Killa, awak kena support produk buatan Malaysia, tahu? Barulah boleh consider Malaysia citizen yang sejati” hah, kali ini ada pula modalnya untuk turut membalas. Tercuit hatinya apabila melihat kening Killa yang terangkat seketika.

“Hurmm... Produk buatan Malaysia banyak pakai plastik macam kerusi-kerusi itulah”

Raen Jay Xiao membulatkan mata. Not again! Dia benar-benar kehabisan bicara berhadapan dengan gadis itu sekarang. Sudahnya dia tertawa besar, semestinya lebih kepada mengetawakan dirinya sendiri dan selebihnya terhadap cara menjawab Killa yang spontan dan melucukan.

“Apa-apa lah Killa. Okey lah, so saya kena ulang balik lah apa yang saya cakap tadi kan? Memandangkan awak ‘fokus’ sangat study pasal ‘kerusi-kerusi’ tadi...” Raen Jay Xiao pura-pura mengalih pandangan ke arah timbunan kerusi yang kini tersusun kemas di tepi dinding. Killa sekadar tersenyum kecil dengan satu anggukan pantas.

“Killa, awak jangan lupa tau, next weekend saya dah book awak, dengar?” Raen Jay Xiao mengulang kembali kata-katanya. Killa mengerut wajah seketika, cuba memahami maksud Raen Jay Xiao. Book? Sejak bila pula aku boleh jadi macam tiket Air Asia, boleh kena ‘book-book’? Killa meneka-neka dalam hati.

“Err, book saya? Kenapa pula book dan untuk apa?” mahu tidak mahu Killa melontarkan persoalan. Dia tidak mahu ada kekeliruan dan tersalah anggap pula maksud kataa-kata Raen Jay Xiao. Raen Jay Xiao sekadar tersenyum.

“Kan pertandingan akhir Koir Belia kategori pelajar sekolah menengah peringkat negeri akan diadakan bermula Jumaat sehingga Ahad minggu depan? Awak lupa ke?” Raen Jay Xiao mengingatkan. Killa diam sejenak sebelum akhirnya tersengih kecil.

“Ingatkan book apa... Saya tak lupa lah!”

“Awak ingat book apa tu? Ada benda lain ke yang saya boleh book dari awak Killa?” Raen Jay Xiao seronok sahaja mempermainkan kelurusan Killa saat itu. Seronok melihat Killa tersenyum, juga seronok melihat gadis itu menarik wajah kegeraman.

“Wah, banyaklah book... Kalau nak Book yang real, yang macam saya pegang ni, banyak lah kat rumah” Killa mencapai lantas menayangkan sebuah buku teks muzik Tingkatan 3 yang kebetulan disusun di meja berdekatan ke arah Raen Jay Xiao. Raen Jay Xiao tertawa besar. Hatinya benar-benar terhibur dan terasa hangat oleh keramahan Killa. Betapa hatinya terasa bertuah kerana berpeluang mengenali gadis itu.

Okey lah, Okey... Nanti saya bagitahu awak details acara dan persiapan-persiapan yang lain esok atau lusa nanti. Besok saya tak ada kat sekolah, kena ikut Pengetua untuk mesyuarat khas. Killa saya nak minta sesuatu boleh?” Raen Jay Xiao berusaha mengumpul kekuatan. Walaupun dia tahu permintaannya tidaklah sebesar mana namun dia masih risau akan penerimaan dan keselesaan gadis itu. Killa mengangguk perlahan.

“Boleh tak awak jangan panggil saya cikgu lagi setiap waktu? Maksud saya, awak boleh panggil saya dengan nama pendek saya, Raen” Raen Jay Xiao merenung tepat ke arah Killa yang mendengar dengan teliti. Hatinya bagai terasa ingin mendengar Killa memanggilnya dengan nama, bukan setakat panggilan ‘cikgu’ sahaja seolah-olah perkenalan mereka hanya sebatas itu. Killa sedikit tersentak. Hatinya serba salah.

“Boleh, tapi tak apa ke? Saya takut tak dapat biasakan diri, apatah lagi bila berada dalam kawasan sekolah” Killa cuba menjelaskan keraguannya. Bukan dia tidak sudi, namun dia juga risau akan pandangan guru-guru lain, juga pelajar. Dia tidak mahu menimbulkan spekulasi sedangkan tempohnya berkhidmat di sekolah itu tidak lama.

“Tak apa. Dalam sekolah dan keadaan semasa pelajar berada di sekeliling, saya tak kisah awak panggil saya cikgu. Saya faham. Tapi bila dalam keadaan seperti sekarang dan juga di luar, janji awak jangan lupa panggil saya dengan nama” Raen Jay Xiao tersenyum kecil. Killa diam sejenak sebelum perlahan-lahan menganggukkan kepala.

Okey, saya cuba”

Thanks Killa. Oh, memandangkan besok saya tak ada, nampaknya awak kenalah rindukan saya lebih sikit ye?” Raen Jay Xiao kembali mengusik. Merah padam wajah Killa melihatkan perangai Raen Jay Xiao yang tidak habis-habis mahu mengusiknya.

“Tak habis-habis. Saya tarik balik yang tadi tu baru tahu. No Raen, deal?” Killa menduga. Raen Jay Xiao tertegun seketika. Bukan kerana ancaman Killa namun inilah kali pertama dia mendengar Killa menuturkan namanya. Hatinya terasa dibuai sejenak, dia yakin Killa akan dapat membiasakan diri untuk memanggilnya dengan nama itu kelak. Dia benar-benar pasti.

“Okeylah, tak payah rindukan. Tak sudi kan, nak buat macam mana...” Raen Jay Xiao hanya tersenyum-senyum. Lantaklah, kalau Killa tidak merindukan dia, dia akan selalu merindukan gadis itu; hanya dia belum punya kekuatan yang membolehkan dia meluahkan rasa kepada Killa. Betapa dia berdoa semoga dia mendapatkan peluang itu suatu hari nanti.

Again!

Killa mengecilkan mata memandang ke arah Raen Jay Xiao. Tak makan saman betul lah pula dia kali ini! Killa merungut dalam hati. Serentak kedengaran bunyi telefon bimbitnya menandakan kedatangan mesej. Killa membaca sejenak mesej yang diterima. Beberapa saat, dia mengerling sekilas ke arah Raen Jay Xiao yang masih menahan tawa.

“Mesti Aaron dah cari awak. Tak apa, awak pergilah dulu. Thanks bantu saya hari ini Killa” Raen Jay Xiao yakin pasti Aaron yang sudah menghubungi Killa sebentar tadi. Tidak terasa masa yang berlalu begitu pantas. Killa akhirnya turut sama tersenyum. Dia tahu juga, Raen Jay Xiao sekadar bergurau dan mahu mengusiknya.

Okey, saya pergi dulu. Thanks Cikgu...” Killa terhenti tatkala melihat Raen Jay Xiao menunjukkan insyarat peringatan dengan jari telunjuknya. Hampir dia terlupa...

“Err... Thanks Raen...”

Walau terasa ada ketul-ketulan ‘kekok’ yang mengiringi nada suaranya saat itu, namun Killa berusaha juga. Raen Jay Xiao sekadar tertawa kecil lalu menganggukkan kepala. Killa lantas mengatur langkah keluar dari Dewan Muzik. Ditepuk-tepuk bibirnya perlahan. Masih kekok! Ah, permulaan mestilah susah. Killa cuba menyenangkan hati. Dia tidak sampai hati pula untuk tiba-tiba menukar fikiran dan menolak permintaan Raen Jay Xiao.

Raen Jay Xiao terus memandang ke arah kelibat Killa sebelum kelibat Killa benar-benar hilang di balik pintu utama Dewan Muzik. Dilabuhkan semula duduknya di kerusi pemain piano. Baru tadi dia berasakan kegembiraan dan kehangatan berbual dengan Killa kini hanya kesunyian yang dirasakan. Memikirkan besok merupakan hari dia akan bertemu kembali dengan Tuan Xiao selepas hampir dua tahun dia dan Reen Ray Xiao menjarakkan diri dari lelaki itu yang juga merupakan ayah kandung mereka, membuat hatinya mula dibalut resah.

Hati lelakinya terasa ego kerana dia sudah berbohong bukan sahaja kepada Killa namun paling utamanya kepada Reen Ray Xiao. Pertemuan kali ini, dia langsung tidak memaklumkan kepada Reen Ray Xiao. Dia tidak mahu emosi Reen Ray Xiao kembali terganggu. Dia sudah melihat bagaimana sukarnya Reen Ray Xiao bergelumang dengan peristiwa hitam yang pernah dilaluinya. Dia juga mengalaminya namun mungkin kerana usianya yang lebih matang ketika itu membuatkan dia bertindak berdasarkan akal rasional, walaupun kesakitannya tidak pernah dapat dilupakan sehingga kini. Raen Jay Xiao memejamkan mata perlahan, hanya keluhan berat mampu dilepaskan...


To be continued....


0 Wizard Spells Here:

Post a Comment

Witch Vera Feels Grateful To Have Wizard's Messages Today! Wee... Hahaha!

Latest Deals ! Click - Click On For More Great Deals!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

TMOD: Witch Vera and Her Magic Spells Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting